Kuala Lumpur -- Pemuda UMNO menyarankan agar anggaran penjimatan sebanyak RM260 juta ekoran pengurangan subsidi gula oleh kerajaan dapat diurus dan diagihkan melalui mekanisme yang telus bagi membantu keperluan dan kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata sebarang pengurangan subsidi yang bersifat umum hendaklah dikembarkan dengan mekanisme pakej pampasan atau bantuan yang khusus kepada golongan yang memerlukan.
"Rakyat ingin tahu ke manakah perginya penjimatan kerajaan itu. Adakah ianya akan digunakan secara langsung untuk membantu mereka atau tujuan pembangunan yang lain yang akan memberikan manfaat kepada semua pihak", katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas sesi taklimat bersama Menteri perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.
Pada masa yang sama beliau turut melontarkan kebimbangan berhubung langkah kerajaan yang mengurangkan kadar pemberian subsidi gula kerana ianya memberi implikasi kepada golongan yang berpendapatan rendah.
"Kita mengambil maklum akan rasional pengurangan subsidi gula bagi mengurangkan beban tanggungan defisit Kerajaan yang dijangka meningkat sehingga RM1.26 bilion sekiranya kadar subsidi dikekalkan.
"Sungguhpun demikian, berdasarkan kepada kajian perbelanjaan isi rumah 2004/2005 yang meliputi keperluan seperti beras, gula, ayam dan sebagainya, bagi seluruh rakyat Malaysia secara puratanya adalah dalam lingkungan 31 peratus daripada pendapatan mereka.
"Namun, beban perbelanjaan bagi golongan berpendapatan rendah adalah berkali-ganda daripada mereka yang berpendapatan tinggi", katanya.
Beliau seterusnya memberikan contoh bagaimana kadar pecahan perbelanjaan bagi makanan dan minuman bagi golongan yang berpendapatan kurang dari RM500 pula adalah setinggi 39 peratus berbanding pula bagi golongan yang berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan yang hanya membelanjakan 9 peratus daripada pendapatan mereka.
"Di samping itu jika dilihat kepada peratus perbelanjaan khusus bagi barangan manisan seperti gula, madu, jem dan coklat pula beban golongan yang berpendapatan kurang dari RM500 sebulan adalah 5 kali ganda berbanding mereka yang berpendapatan melebihi RM5,000.
"Ini menunjukkan bahawa impak kepada golongan berpendapatan rendah adalah lebih tinggi", ujarnya.
Pada masa yang sama beliau turut menggesa agar kementerian dapat meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terutama bagi mengelakkan kenaikan harga barang yang melampau dan kegiatan penyeludupan barangan.
Selaras dengan tema Juara Rakyat, pergerakan itu turut menawarkan khidmat membantu Kerajaan di dalam usaha memantau kenaikan harga barang dan juga penyeludupan.
"Pemuda UMNO juga bersedia membantu sebagai agen penyelaras bagi bantuan khusus daripada dana penjimatan subsidi gula untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah", katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan