Khamis, Februari 04, 2010

Guan Eng layan PKR macam anjing? - Tee Beng

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang diminta berhenti mengkritik Lim Guan Eng, hari ini mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu melayan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti anjing.

Menurutnya, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP hanya berkelakuan sopan dan menunjukkan sikap bertanggungjawab apabila berhadapan dengan media.

"Sebenarnya beliau tidak endahkan wakil rakyat PKR langsung dan terlalu berlagak dengan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Tee Beng, ramai wakil rakyat PKR dan Ketua Bahagian PKR di Pulau Pinang yang semakin kecewa dengan pentadbiran Guan Eng.

"Sehubungan itu, saya meminta rakyat Pulau Pinang bersikap lebih terbuka dengan memilih calon yang benar-benar sesuai pada pilihan raya akan datang bagi menggantikan Ketua Menteri itu.

"Sudah tiba masanya untuk Guan Eng melepaskan jawatan Ketua Menteri kerana kepimpinannya tidak lagi diperlukan rakyat Pulau Pinang," katanya.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu diminta Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Hussein Ali supaya berhenti mengkritik Guan Eng kerana ia hanya menjejaskan imej parti.

Bagaimanapun semalam Utusan Malaysia melaporkan, Tee Beng tidak akan berhenti daripada terus mendedahkan kepincangan kepimpinan Guan Eng sekalipun berdepan risiko dipecat.

Tee Beng yang merupakan bekas Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang berkata, beliau bersedia membongkar semua rahsia dan cara pentadbiran Guan Eng pada bila-bila masa sahaja.

Tambah beliau, hampir semua wakil rakyat di negeri itu sudah muak dan bosan dengan janji-janji Guan Eng yang kononnya akan memperjuangkan nasib rakyat.

"Bayangkan setiap kali mesyuarat dalam negeri atau perjumpaan biro diadakan, Guan Eng tidak pernah mengambil tindakan susulan daripada perkara berbangkit sebaliknya hanya cakap kosong.

"Sehubungan itu, saya sebagai wakil akar umbi bertindak menegur beberapa perkara berbangkit kepada Guan Eng namun beliau menuduh saya telah mengkritik kepimpinannya," katanya.

Tee Beng turut mencabar Guan Eng menafikan dakwaannya itu jika ia salah.

"Saya tahu beliau tidak akan berani berbuat demikian kerana selama ini jika ada isu-isu berbangkit, beliau akan meminta pihak-pihak tertentu menjawab bagi pihaknya," jelas beliau.

Ditanya sama ada beliau berhasrat menyertai parti lain, jelasnya, setakat ini Jawatankuasa Disiplin parti belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Pada masa ini tiada orang yang mempelawa saya menyertai mana-mana parti, biasanya kalau mereka nak pecat, saya akan dikenakan tindakan tatatertib dahulu," ujarnya.

Anwar Sedar Situasi Politik Di Pulau Pinang Tetapi Tidak Bertindak - Kata Tan

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Anggota Parlimen Nibong Tebal daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Tee Beng berkata beliau percaya Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyedari keadaan terkini politik di Pulau Pinang tetapi tidak bertindak untuk menanganinya.

"Saya rasa beliau tidak bertindak menanganinya... mungkin beliau fikir berkompromi (dengan DAP) adalah cara terbaik," kata Tan pada satu sidang akhbar di sini Rabu.

Tan berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada Anwar menyedari mengenai kebimbangan beberapa pemimpin PKR di Pulau Pinang terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, daripada DAP.

Pulau Pinang ditadbir oleh pakatan parti DAP, PKR dan PAS.

Terdahulu, Tan mendakwa Lim seorang yang angkuh dan harus disingkirkan daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Tan mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan menarik balik atau berhenti membuat kenyataan mengenai "keangkuhan" Lim meskipun menerima satu SMS daripada Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussein Ali supaya berbuat demikian.

Selasa, Februari 02, 2010

Pengkalan Pasir terima baik kursus Bahasa Inggeris

PASIR MAS –Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka mengikuti kursus Bahasa Inggeris yang dianjurkan pusat Khidmat Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Pasir Mas (PKPPUPM) menerima baik perancangan mereka untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa itu di kalangan anak-anak mereka.

Salah seorang ibu peserta yang ditemui, Sakina Selamat, 46, berkata, kesempatan untuk menghantar anaknya menyertai kursus ini digunakan dengan sebaiknya kerana menyedari penguasaan bahasa kedua ini penting untuk alam pekerjaan akan datang.

Menurutnya, peluang ini hanya sekali dan ia percuma kepada semua belia di Pasir Mas yang mahu belajar dan meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris.

“Saya mendapat tahu perkara ini dari anak saya sendiri, dan dia sendiri mahu ke kursus ini kerana baginya Bahasa Inggeris ini penting untuk masa depan dan bukannya bermaksud untuk membelakangkan bahasa ibunda kita.

“Saya tidak pernah menghalang anak-anak untuk mempelajari BI dan peluang ini perlulah digunakan dengan sebaiknya kerana sekiranya mengambil kursus di luar, sudah tentu bayaran yang dikenakan mahal,” katanya pada program taklimat ibu bapa yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim Dua.

Sakina berkata, kursus ini membantu golongan belia Pasir Mas untuk mempelajari dan meningkatkan Bahasa Inggeris mereka tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada semua peserta.

Salah seorang bapa, Ramli Rahman, 50, berbangga dengan program yang dianjurkan kerana secara tidak langsung dapat melahirkan generasi yang boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

Menurutnya, zaman globalisasi sekarang ini, penggunaan bahasa kedua dunia ini sesuatu yang penting dan dapat digunakan untuk alam pekerjaan nanti.

“Saya menyokong sepenuhnya kursus seperti ini kerana jika dilihat dari satu sudut, golongan belia Pasir Mas ini mempunyai kemahiran dalam menulis tetapi apabila bertutur mereka mungkin malu atau takut salah.:

“Saya melihat kursus ini berkesan kerana selepas dari kursus ini, anak saya dapat menutur dalam Bahasa Inggeris dengan penuh keyakinan dan saya menjangkakan perkara sama berlaku kepada semua peserta yang menyertai kursus ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas, Najib Rashdan Abdul Rahman berkata, kelas tuisyen secara percuma tersebut akan diajar oleh seorang guru Bahasa Inggeris, Nor Bi Abdul Rahman bersama dua orang pembantu yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

Menurutnya, seramai 150 penyertaan pertama akan terpilih dari setiap DUN dan akan diadakan secara berperingkat mengikut kawasan Chetok, Tendong dan Pengkalan Pasir.

“Kita bersyukur dengan sambutan yang diberikan dan ini akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Kita mahu menanam minat yang mendalam dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan meningkatkan ilmu pengetahuan murid dalam subjek itu,” katanya.

Pakatan Rakyat tidak boleh ambil tindakan


SHAH ALAM - Jawatankuasa Tatatertib Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana wakil rakyat di bawah gabungan itu kerana masih berdaftar sebagai sebuah parti politik.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Zainal Kling berkata, selagi tidak didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah, PR rakyat tidak mempunyai perlembagaan yang jelas untuk dijadikan panduan.

“Tidak ada mekanisme yang boleh dijadikan panduan (untuk tindakan ke atas ahli parti gabungan yang melanggar disiplin), kerana belum tertubuh perlembagaan PR,” katanya katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan PR yang akan mengaktifkan Jawatankuasa Tatatertib bagi menangani pelbagai isu tidak sihat yang ditimbulkan pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang sejak kebelakangan ini.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mengarahkan jawatankuasa itu untuk meneliti kod etika dan tatatertib yang perlu dipatuhi semua ahli parti komponen PR.

Zainal berkata, PR perlu bersatu sebagai sebuah parti kerana ahli-ahlinya sedang berhadapan pergolakan kepentingan disebabkan perbezaan ideologi.

“Gabungan mereka ini belum berpadu, mereka membentuk Pakatan sekadar suka-suka bagi menghadapi pilihan raya. Mereka kini dalam peringkat pertengahan iaitu menyesuaikan diri disebabkan perbezaan ideologi dan tindakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, Jawatankuasa Tatatertib ditubuhkan bagi memastikan ahli parti komponen pembangkang lebih berdisiplin dan mengelakkan persepsi buruk oleh rakyat.

“Penubuhan Jawatankuasa ini untuk memastikan ahli-ahli PR lebih berdisiplin kerana jika tidak ditangani akan mengundang persepsi negatif masyarakat dan menjejaskan persiapan rakan-rakan parti PR,” katanya.

Idris berkata, penubuhan jawatankuasa ini sebenarnya telah lama dirancang dan tidak akan menghalang kebebasan bagi ahli untuk bersuara.

“Dalam negara demokrasi ataupun liberal semua ada kebebasan untuk bersuara tetapi perlu ada hadnya, kalau tidak nanti ada undang-undang seperti akta hasutan yang digunakan, perkara begini mesti ada,” katanya.

Mahkamah dengar hujah tangguh kes Anwar

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan petang ini dengan peguam Anwar, Karpal Singh, berhujah kenapa perbicaraan itu perlu ditangguhkan.

Mahkamah kemudian berehat sementara untuk hakim menimbang hujah dan membuat keputusan.

Anwar pagi tadi memohon bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Karpal berkata, penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Terdahulu, Bernama melaporkan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan akan menemui Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff esok bagi membincangkan tentang perkara berkaitan permohonan semakan kes berkenaan.

Ketika ditemui wartawan, Karpal berkata Alauddin semasa dihubunginya menerusi telefon bersetuju menemui kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan, selepas kedua-dua pihak yang bergegas ke Istana Kehakiman di Putrajaya pagi ini gagal menemui Zaki।
Karpal berkata beliau dimaklumkan Zaki menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur manakala Alauddin mempunyai temu janji perubatan.

Kes liwat Anwar ditangguh 2.30 petang esok

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sehingga 2.30 petang esok perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu bagi membolehkan peguam Anwar bertemu dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Mohd Sherif bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.

Permohonan semakan itu adalah untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar mendapatkan dokumen dan material penting termasuk sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi persediaan pembelaan kes liwat itu.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh memberitahu mahkamah, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, mengarahkan Alaudin mengaturkan pertemuan itu dengan peguam Anwar esok di dalam kamar.

Kerajaan Beri Perhatian Kepada Kemajuan Semua Sekolah, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 2 Feb -- Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kemajuan semua sekolah-sekolah dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pemilihan 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini tidak bermakna bahawa hanya sekolah-sekolah ini sahaja yang diberi perhatian.

"Sebagai Menteri Pelajaran kita nak majukan semua sekolah. Saya hendak semua sekolah maju," katanya dalam program "Soal Jawab Bersama Timbalan Perdana Menteri" yang disiarkan TV3 Isnin malam.

Muhyiddin berkata beliau juga sedar mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah terutama di kawasan luar bandar, seperti kekurangan guru yang terlatih dan kemudahan infrastruktur.

Menurutnya antara tujuan diwujudkan SBT adalah agar pengiktirafan yang diberi dapat menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan yang sama.

Isnin lepas Muhyiddin mengumumkan senarai 20 SBT yang terdiri daripada 14 sekolah menengah dan enam sekolah rendah di seluruh negara, yang dipilih dari kalangan sekolah-sekolah yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan bidang kebitaraan masing-masing.

Sementara itu Muhyiddin berkata keputusan kerajaan mengubah dasar dalam soal pengajaran matapelajaran sains dan matematik yang dulunya dalam Bahasa Inggeris tidak bermakna bahasa itu diabaikan kepentingannya.

Menurutnya beberapa inisiatif baru sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan bagi meningkatkan pengajaran dan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Ini termasuk rancangan pengambilan 15 jurulatih Bahasa Inggeris dari luar negara, 360 "master teachers" daripada negara-negara yang bertutur Bahasa Inggeris seperti Britain dan Australia bagi membolehkan mereka mengajar para guru yang mengajar bahasa ini dan memantau kemajuan.

Selain itu, ada rancangan untuk menambah masa pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah bagi meningkatkan prestasi bahasa itu di kalangan pelajar.

Mengenai pandangan bahawa beliau lebih dilihat sebagai menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada Menteri Pelajaran, Muhyiddin berkata itu mungkin disebabkan oleh persepsi masyarakat kerana orang melihat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai lebih berpengaruh.

"Jadi dalam soal ini saya tak fikir tak tumpu pada tugas-tugas sebagai Menteri Pelajaran. Itu bagi saya tidak tepat," kata Muhyiddin.

Muhyiddin juga berkata masa depan anak-anak akan terkorban jika ada pihak cuba mempolitikkan isu-isu berkaitan pelajaran dan katanya kementerian akan memastikan agar dasar dan falsafah berkaitan pelajaran dilaksanakan sebaik mungkin.

Menjawab satu soalan, beliau berkata falsafah pendidikan kebangsaan yang wujud sejak 20 tahun lepas yang bertujuan antara lain melahirkan insan yang seimbang dalam semua bidang, terus wujud, namun beliau mengakui hasilnya belum tercapai.

Beliau berkata masyarakat sering mengaitkan masalah yang dihadapi golongan muda hari ini dengan sistem pelajaran, namun menurutnya sistem pelajaran tidak gagal, sebaliknya wujud kekurangan yang perlu diatasi.

Katanya kementerian juga sedang mengkaji kemungkinan pelajar tahun satu sekolah rendah memulakan persekolahan pada usia enam tahun berbanding tujuh tahun ketika ini, dan dalam hal ini beliau akan turut meminta pandangan pakar-pakar.

Ahmad Maslan Ajak Anggota Pembangkang Sertai Umno

KUANTAN, 31 Jan -- Umno dan Barisan Nasional (BN) membuka seluas-luasnya pintu parti itu kepada pemimpin dan anggota parti dari pakatan pembangkang yang meninggalkan parti masing-masing berikutan hilang kepercayaan terhadap perjuangan asal mereka.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Umno mengajak mereka berbuat demikian ekoran kepincangan parti dalam pakatan pembangkang kini semakin terserlah apabila wujudnya beberapa krisis sesama mereka sejak kebelakangan ini.

"Saya menyeru kepada kawan-kawan lain yang tidak lagi bersetuju dengan pembangkang supaya lekas-lekas tinggalkan parti itu dan kita di Umno sentiasa menerima mereka dengan tangan terbuka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Ekspo Pendidikan Program Juara Rakyat Umno Bahagian Indera Mahkota di Balok, di sini pada hari Ahad.

Ahmad berkata krisis yang berlaku di antara beberapa pemimpin parti pembangkang kebelakangan ini bukanlah satu sandiwara tetapi ia benar-benar terjadi yang telah memperlihatkan kepada rakyat tentang ketidaksefahaman yang wujud sesama mereka selama ini.

"Pakatan pembangkang yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ini bukanlah pakatan pembangkang tetapi merupakan pakatan rapuh dan kita bersedia menerima ahli-ahli pembangkang untuk menyertai Umno dan BN," katanya mengulas kemelut politik antara pakatan pembangkang terutamanya di Pulau Pinang yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

Khamis lepas, Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis.

"Apa yang berlaku di antara Zahrain dan Lim Guan Eng memang betul-betul berlakunya gelombang besar dalam pakatan itu dan mereka ini adalah Pakatan Rapuh dari dulu lagi malah Zahrain merupakan satu simbol yang melambangkan ketidaksetujuan oleh pihak PKR dan PAS di Pulau Pinang terhadap Ketua Menterinya," kata Ahmad.

Beliau tidak menolak kemungkinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menuduh Umno sebagai dalang terhadap apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang pada masa ini.

"Umno dan BN tidak ada kena-mengena dengan apa yang berlaku dalam pakatan terbabit dan itu memang taktik Anwar yang akan menuduh Umno dan BN sebagai punca berlaku sesuatu masalah walaupun ia terjadi dalam pakatan pembangkang," katanya.

Zambry Cabar Nizar Dan Wakil Rakyat Pembangkang Kosongkan Kerusi

IPOH, 1 Feb -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mencabar bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN pembangkang di Perak.

Beliau berkata Mohammad Nizar dan wakil rakyat pembangkang berkenaan tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong pembangkang.

"Kalau pembangkang rasa mereka popular sekarang, bubarlah 28 kerusi mereka. Kita tengok sama ada mereka dapat semula 28 kerusi DUN ataupun tidak (pada pilihan raya kecil)," katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM di sini Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Mohammad Nizar sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN Perak sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 9 Feb ini berpihak kepadanya.

Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.

"Nak bubar DUN ini adalah permainan mereka. Saya tidak akan ikut permainan mereka, bukan kerana takut tapi kerana tidak mahu terikut-ikut rentak permainan pembangkang ini," katanya.

Terdahulu dalam wawancara itu, Zambry berkata fokus utama kerajaan negeri BN yang diterajuinya adalah untuk membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Perak dan bukannya terheret ke dalam permainan politik pembangkang yang tidak berkesudahan.

"Sebaik sahaja kita (BN) mentadbir, saya telah memaklumkan bahawa kita tidak boleh selamanya bermain dengan politik kerana rakyat di luar sana inginkan sesuatu daripada kita. Ada masanya rakyat ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Zambry yang dilantik Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Feb lepas menyatakan keyakinannya bahawa sokongan masyarakat pelbagai kaum di Perak terhadap BN akan terus bertambah disebalik pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pembangkang.

"Saya yakin bahawa rakyat di Perak tidak akan termakan dengan cara mereka (pembangkang) dan dengan adanya perkembangan ekonomi yang baik, kedudukan keamanan yang baik di Perak dan program pembasmian kemiskinan efektif yang kita lakukan, saya yakin akhirnya rakyat akan bersama-sama dengan kita... dengan syarat kita pun kena buat kerja dengan kuat," katanya.

Wakil DAP Gesa Tindakan Tegas Diambil Terhadap Pemimpin PKR

PULAU PINANG, 1 Feb -- Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya, yang beliau dakwa, cuba memecah-belahkan kerjasama pakatan pembangkang di negeri itu.

Ooi, yang juga anggota Parlimen Jelutong, berkata beliau berharap PKR mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu membabitkan anggotanya yang melakukan serangan peribadi terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Saya berharap mereka (PKR) akan membuat penghakiman segera terhadap isu ini supaya seluruh negeri Pulau Pinang boleh meneruskan agenda pembangunan di bawah pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita di sini hari Isnin.

Beliau mengulas laporan hari ini bahawa pertelagahan DAP-PKR Pulau Pinang semakin serius selepas seorang lagi anggota Parlimen PKR, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), menyokong pemimpin parti itu Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (anggota Parlimen Bayan Baru) dengan melabelkan Lim sebagai pemimpin tidak ada kelas.

Ooi berkata Tan dan Zahrain berkongsi masalah kekecewaan politik dengan mengeluarkan kenyataan negatif melalui media.

"Ini merupakan kes klasik kekecewaan politik. Apabila mereka tidak dapat apa yang mereka inginkan, mereka mula buat bising," katanya.

Beliau mendakwa Tan kecewa kerana cadangan partinya bagi dirinya menjadi pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan campurtangan beliau dalam proses tender Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) bagi mendapatkan lot rumah kedai bagi seorang saudara maranya tidak dipenuhi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy menyambut baik keputusan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk Zahrain ke jawatankuasa disiplin parti.

"Ini merupakan forum yang betul untuk membincangkan isu itu, khususnya semasa mesyuarat Pakatan, dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka bukan idea Pakatan," katanya.

Minggu lepas, Zahrain berkata Lim merupakan seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis manakala semalam Tan menyatakan sokongan terhadap Zahrain.

Tan lebih lantang lagi dengan menyelar pemimpin PKR di Pulau Pinang yang didakwanya gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat negeri.

Beliau malahan memberi amaran bahawa PKR akan berputih mata jika pemimpin lemah dan terus tunduk kepada telunjuk Lim.

Senarai Perdana Menteri Malaysia

Kabinet Malaysia 2009

Berikut adalah senarai jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 April 2009 di Putrajaya.

Portfolio Menteri Timbalan
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)
Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)
Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)
Datuk Liew Vui Keong
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Datuk S.K. Devamany
Ahmad Maslan
T.Murugiah
Kementerian Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak
Kementerian Kewangan II Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah Datuk Chor Chee Heung
Datuk Dr Awang Adek Hussin
Kementerian Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin Datuk Dr Wee Ka Siong
Dr Mohd Puad Zarkashi
Kementerian Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat Datuk Abdul Rahim Bakri
Datuk Robert Lau Hoi Chew
Kementerian Perusahaan , Perladangan dan komoditi Tan Sri Bernard Dompok Datuk Hamzah Zainudin
Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Datuk Wira Abu Seman Yusop
Jelaing anak Mersat
Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim Datuk Joseph Salang Gandum
Senator Heng Seai Kie
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui Noriah Kasnon
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal Datuk Hassan Malek
Datuk Joseph Entulu Anak Belaun
Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Mohd Khaled Nordin Datuk Dr Hou Kok Chung
Datuk Saifuddin Abdullah
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed Datuk Mukhriz Mahathir
Datuk Jacob Dungau Sagan
Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Dr Maximus Ongkili Fadillah Yusof
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas Tan Sri Joseph Kurup
Kementerian Pelancongan Datuk Ng Yen Yen Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib
Kementerian Pertanian dan Indistri Asas Tani Datuk Noh Omar Datuk Johari Baharum
Datuk Rohani Abdul Karim
Kementerian Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
Kementerian Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor Datuk Yong Khoon Seng
Kementerian Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai Datuk Rosnah Rashid Shirlin
Kementerian Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek Datuk Razali Ibrahim
Wee Jeck Seng
Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam Datuk Maznah Mazlan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Datuk Tan Lian Hoe
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Kong Cho Ha Datuk Lajim Ukin
Kementerian Pembangunan Wanita , Keuarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Datin Paduka Chew Mei Fun
Kementerian Luar Datuk Anifah Aman A.Kohilan Pillay
Datuk Lee Chee Leong
Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin Datuk M. Saravanan