PASIR MAS – Program penempatan pekerjaan yang dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Mas dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja di dewan Majlis Daerah Pasir Mas, berjaya memberi peluang kepada belia Pasir Mas untuk mengisi kekosongan jawatan di dalam dan luar Kelantan. Pada program tersebut, lebih dari 3,000 orang hadir untuk menyertai program yang menyediakan lebih dari 1,200 kekosongan pekerjaan.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat berkata, program tersebut melibatkan 12 majikan yang menjalankan proses temu duga secara terus di kawasan tersebut. Menurutnya, ini adalah program yang memberikan tumpuan kepada golongan belia kerana menyedari peluang pekerjaan yang kurang dalam negeri ini. “Kita tidak mahu masalah pengangguran ini berterusan, dan ini salah satu langkah bagi membuka mata golongan belia untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Salah seorang yang menyertai program tersebut, Siti Balkis Awang, 23, berkata, selepas menamatkan pelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), dia meneruskan kehidupannya dalam bidang perguruan. Menurutnya, pekerjaan tersebut hanya bersifat sementara dan bercita-cita untuk meneruskan pekerjaan tersebut sekiranya diberi peluang. “Saya mendapat tahu program ini daripada rakan-rakan, dan mengambil peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan yang saya mahukan. “Saya melihat, program seperti ini bagus kerana bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan dapat mencari pekerjaan yang lebih sesuai dengan mereka,” katanya. Siti Balkis berkata, dengan adanya program ini dapat member pilihan untuk memilih pekerjaan yang dikehendaki dan bersesuaian dengan kelayakan. Katanya, program ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan menambahkan lagi bidang kerjaya yang ada sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan